Alhamdulillah segala puji dan puja bagi Allah Rabb sekalian alam yang telah menyusun dengan baik sistem kehidupan makhlukNYA kerana dengan RahmatNYA kita masih diberi kurniaan nyawa dan kesempatan untuk terus beriman kepada Allah. Selawat dan Salam kepada Muhammad SAW yang telah memberikan teladan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan terutamanya kepada petugas amal Islami seperti yang di rekodkan oleh Allah dalam Al-Quran ;
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu uswatun hasanah (suri teladan yang baik) bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Al-Ahzaab: 21)
Saban tahun kita menyambut kedatangan Awal Muharram dan pada tarikh keramat ini jugalah dijadikan cuti umum bagi seluruh negara. Sesungguhnya peristiwa hijrah Rasul SAW dan para sahabat memberi makna yang lebih besar berbanding bergembira menikmati cuti umum.
Pembaca sekalian,
Peristiwa Hijrah Rasul SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar perpindahan biasa yang selalu kita lakukan dan sebut-sebutkan. Hijrah mereka ini dipandu oleh wahyu Allah SWT yang pastinya sesuatu yang besar pasti akan berlaku. Kesusahan yang dialami oleh baginda Rasul dan para sahabat tidak sedikit pun menyebabkan mereka berganjak dari jalan dakwah dan jihad. Namun mereka tetap melakukan hijrah, mengapa? Adakah kerana ingin melarikan diri daripada seksaan kafir Quraisy? Jawapannya ialah TIDAK. Sesungguhnya hijrah mereka ini mendapat arahan daripada Allah dengan pelbagai cabaran dan dugaan untuk melakukan hijrah ini namun bayarannya sangat berharga iaitu berjaya mendirikan sebuah Daulah Islamiah (Negara Islam). Pernah Abu Bakar bertanya kepada Rasul SAW bilakah mahu berhijrah, namun Rasul SAW mengatakan akan ada orang yang menemani Abu Bakar untuk berhijrah (menunggu masa dan arahan untuk berhijrah).
Maka apa yang dapat kita ambil dari peristiwa ini? Telusuri semula kronologinya, perjuangan Rasul SAW di zaman Mekah dengan pelbagai usaha dakwah dan penanaman aqidah yang benar, disambung dengan penghijrahan yang mengubah umat Islam secara holistik kemudiannya berjaya menjadi umat Islam yang kuat dan disegani. Ini melambangkan bahawa perubahan yang sebenar-benarnya menuntut untuk kita berHIJRAH.
Pembaca sekalian,
Sudah sekian lama umat Islam berada dalam ’seksaan’ iman dan aqidah, ’bencana’ kerosakan masyarakat dan jati diri umat, dan ’ditindas’ dengan sistem yang mengongkong daripada berfikir tentang Islam tetapi usaha untuk ’memerdekakan’ umat Islam dan penanaman aqidah yang sejahtera juga sudah lama dilakukan. Namun mengapa nasib umat Islam masih berada dalam keadaan yang sama dan berganjak hanya sedikit? HIJRAH lah jawapannya! Sesungguhnya Hijrah Rasul SAW dan para sahabat menuntut kepada perubahan holisitik(menyeluruh) dalam diri umat Islam.
Hanya dengan perubahan holisitik dapat membantu umat Islam keluar daripada ’seksaan’, ’bencana’ dan ’penindasan’ tersebut dan seterusnya menjadikan umat Islam yang terbaik dan sejahtera. Firman Allah ;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)
Pembaca sekalian,
Berhijrahlah dalam segala aspek kehidupan. Sebagai pelajar dan masyarakat umum, hijrahlah bermula dari perkara asas seperti prinsip hidup (Berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah) dan matlamat hidup (Mendapat redha Allah). Maka secara automatik segala perkara lain yang melibatkan ideologi dan pemikiran, ketokohan dan ikon, akhlak dan ibadat, keilmuan dan kebudayaan, syariat dan cara hidup akan menjurus kepada Islam yang mulia. Hanya pada saat inilah, umat Islam akan kembali ke tempat yang dimuliakan oleh Allah manakala masyarakat bukan Islam akan mendapat mendapat faedah daripadanya. Firman Allah;
والذين هاجروا في الله من بعد ماظلموا لنبوئنهم في الدنيا حسنة ولاجر الاخرة اكبر لو كانوا يعلمون
الذين صبروا وعلى ربهم يتوكلون
“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” (An-Nahl: 41-42)
Akhir kalam, Rakan Masjid UTP mengucapkan Salam Ma’al Hijrah 1432 H bersulamkan hadis ; diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah”
Sekian , terima kasih
Zaiyinul Ain Bin Zainal Rafit
(P) Presiden Rakan Masjid UTP
Dipetik dari : http://suaramtmerm.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment