Chat Box

Pages

Tuesday, February 1, 2011

Ayuh, laksanakan peranan sebaiknya!

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan kasih sayang-Nya, kita masih lagi diberi kekuatan untuk meneruskan jihad akademik di UTP ini. Marilah berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kerana telah bersusah payah, bermandi peluh dan darah untuk menyebarkan Islam.

Tidak terlalu lewat untuk saya mengucapkan selamat kembali kepada warga UTP, dan selamat datang bagi pelajar baru. Semoga tahun 2011 menjadikan kita lebih bersemangat dan faham akan pentingnya perjuangan akademik kita di UTP bagi mengembangkan Islam, insyaAllah.

Ringkasan ekstrak dari buku karangan Imam Abu’l a’la al-Maududi bersama Al-Syahid Sayyid Qutb, “La ilaha IllAllah:Manhaj Hidup Muslim” di bawah tajuk “Perbezaan Muslim dan Kafir: Pengetahuan dan Perbuatan”

1. Pengetahuan bermaksud seorang Muslim harus tahu siapa Tuhannya, apa perintah-perintahNya, bagaimana menuruti kehendak-Nya, yang mana disukaiNya dan yang mana dimurkaiNya.
2. Menjadikan dirinya sebagai hambaNya dan melaksanakan kehendak-kehendakNya. Keinginan hati yang tidak selari dengan kehendak Allah hendaklah ditinggalkan.
3. Hendaklah mengatakan sesuatu perkara itu mulia mengikut ketetapan Allah walaupun tidak di mata kita. Sebaliknya hendaklah mengatakan hina sesuatu perkara walapun kelihatan mulia di mata kita.
4. Pekerjaan yang dilihat berisiko tetapi Tuhan mengatakan wajib dilaksanakan maka hendaklah kita laksanakan walau mungkin kehilangan beberapa perkara seperti harta bahkan nyawa. Sebaliknya, sekiranya pekerjaan yang dilihat menguntungkan pada pandangan dunia namun tidak di sisi Allah, maka wajib meninggalkannya.

Berdasarkan ringkasan daripada Imam al-Maududi di atas, dapatlah kita ketahui bahawa yang membezakan kita dengan belum muslim adalah pengertian kita akan Allah, mengenali jalan yang benar dan melaksanakan perintah-perintahNya. Atas dasar itu, tanggungjawab kita adalah benar-benar melakukan apa yang disuruh Allah, dan meninggalkan larangannya dengan bersungguh-sungguh. Kedudukan sebagai seorang Muslim itu tidaklah diperoleh dengan kelahiran, keturunan mahupun kasta tetapi semata-mata kerana ketaqwaannya kepadaNya. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran:
“.. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu adalah orang yang paling bertaqwa.”
(Al-Hujuraat : 13)

Mungkin kita terasa amannya suasana di UTP ini, membuatkan kita lalai dan lupa bahawa hakikatnya, keperluan untuk kita berjuang menyampaikan Islam tidak akan terhenti sampai bila-bila dan hikmahnya adalah buat diri kita sendiri. Firman Allah :
“Dan barangsiapa yang berjihad, sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Dan Allah itu Maha Kaya ke atas segala sesuatu.” (Al-Ankabut : 6)

Maka, kami dari pihak Rakan Masjid UTP menyeru dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang sudi menyertai kami dan berganding bahu untuk bersama-sama kita menyuburkan biah solehah di UTP ini khasnya, dan di seluruh qariah kita amnya. Ditambah lagi perkembangan Rakan Masjid UTP yang menuju globalisasi, termasuk perjalanan Misi Kemanusiaan di Yogyakarta dan Global Ukhuwwah ke Hong Kong baru-baru ini. InsyaAllah, kami menyediakan wasilah yang sesuai kepada anda yang ingin menyumbangkan tenaga demi Islam.

Akhir kalam, “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah di jalanNya, agar kamu beruntung.”
(Al-Maidah : 35)

Zaiyinul Ain Bin Zainal Rafit
(P) Presiden Rakan Masjid UTP 2011

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More