Saturday, October 23, 2010
HEDONISME – MASIH ADA JALAN KELUAR, KAMI SEDIA MEMBANTU
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan rahmatNYA, Rakan Masjid UTP (RM UTP) berjaya bersemuka dengan Music Pursuit (MP) sekali lagi pada 21 Oktober 2010 untuk menerangkan saranan yang terbaik untuk penganjuran MP. Mesyuarat kali kedua ini dihadiri oleh 4 wakil Majlis Tertinggi Music Pursuit (MP), 2 wakil Majlis Tertinggi Rakan Masjid UTP (RM UTP) dan 2 wakil pelajar antarabangsa , (Sudan dan Somalia).
Pihak RM UTP terus melaksanakan proses penerangan kepada MT MP sebagai melaksanakan tuntutan dakwah seperti mana yang dilakukan oleh Rasul Junjungan Muhammad SAW kepada pembesar-pembesar di zaman baginda; berkenaan perkara-perkara yang pernah diutarakan dan penambahan untuk membuka mata dan fikiran ahli mesyuarat.
Persetujuan pertama ialah menyediakan ruang menonton alternatif (secara sukarela kepada penonton) mengikut jantina. Perbincangan kali ini bertujuan untuk melihat mana-mana ruang yang RM UTP boleh membantu dan RM UTP akan terus memberi komitmen untuk menjayakannya ketetapan yang ada mudah-mudahan MP diberi kekuatan untuk melaksanakannya.
Perbincangan juga menyentuh pembentangan hasil kajian oleh Unit Penyelidikan dan Pembangunan RM UTP berkenaan Masalah Remaja Malaysia dan penyelesaiannya secara Perniagaan Sosial (Social Business). Diketahui umum bahawa kebanyakan rekod jenayah dilakukan oleh golongan Generasi Y (remaja).
Statistik (2009) menunjukkan 6401 kes jenayah dari 8809 kadar jenayah dilakukan oleh remaja Melayu, 30978 bayi luar nikah dihasilkan oleh pasangan Melayu yang belum berkahwin (1993-2003), 191141 kes penyalahgunaan dadah (2006) dilakukan oleh orang Melayu dan kadar pegangan ekonomi bumiputera juga antara yang terendah(2006).
Melihat generasai muda Melayu-Islam yang dalam keadaan merisaukan ini, pastinya disebabkan oleh faktor-faktor tertentu antaranya anak-anak remaja dibesarkan di dalam suasana pergaulan bebas dan hiburan semata-mata melebihi budaya keilmuan dan intelektual. Kajian menunjukkan remaja banyak terdedah dengan radio, kemunculan lambakan program hiburan realiti TV, konsert di serata negara, majalah-majalah dan pelbagai lagi bahan-bahan yang diterbitkan melalui media massa yang berperanan besar dalam membentuk pemikiran anak-anak kecil dan remaja hari ini dalam menerima budaya asing yang sedikit lari dengan nilai-nilai asal iaitu Islam.
Berdasarkan maklumat di atas, Malaysia yang sedang menuju negara Maju 2020 pastinya memerlukan kesemua rakyatnya berubah menjadi lebih baik dengan tidak meninggalkan mana-mana bangsa terutamanya Melayu yang menjadi penyumbang terbesar dalam masalah sosial. Sekiranya keadaan begini berterusan di luar sana dan di dalam institusi pendidikan, mereka yang berkenaan sedang menghancurkan sebahagian besar remaja yang bakal menggantikan tampuk kepimpinan syarikat-syarikat dan negara. Kurangnya remaja yang mampu berfikir akan melambatkan proses negara maju dan sekiranya hanya meninggalkan sesebuah bangsa yang ketinggalan dibelakang, pihak yang berkenaan boleh dipanggil ’racist’ kerana tidak mahu melihat kemajuan dikecapi oleh semua pihak.
Dalam sistem kapitalis, terdapat lubang-lubang yang boleh ditampung iaitu melalui ’Social Business’ yang mana sangat menekankan pendidikan dan bakti kepada masyarakat dan penduduk yang berurusan dengannya seperti yang dilakukan oleh PETRONAS. Antara faktor untuk membangunkan masyarakat ialah faktor budaya asal (origin of culture), dalam konteks remaja Melayu ialah nilai-nilai Islam itu sendiri yang dengan jelas melarang pergaulan bebas antara jantina apalagi dalam suasana menyaksikan konsert. Masyarakat perlu terus dididik dengan kerjasama semua pihak termasuk yang menjalankan ’perniagaan’. Di kampus, tidak kisahlah untuk melaksanakan apa sahaja program, tetapi nilai didikan terutama nilai Islam yang universal sifatnya perlu terus dilaksanakan. Antara cara mendidik Generasi Y ialah pendidikan melalui tindakan. Sebagai remaja yang mampu berfikir dengan matang seharusnya memahami sebab sesuatu tindakan dilakukan dengan syarat input perlu diberitahu dahulu.
Oleh itu, Rakan Masjid UTP tidak putus-putus untuk memberi penjelasan berkenaan panduan untuk memastikan program yang dijalankan mematuhi syariat Islam walaupun sedikit pada awalnya. Seharusnya tiba giliran pihak penganjur program untuk melaksanakan didikan melalui tindakan.
RM UTP tiada masalah dengan penganjuran MP sekiranya ianya dapat melaksanakan walaupun persetujuan pertama diatas. Perkara ini boleh dilaksanakan kepada semua program termasuk berbentuk ilmiah. RM UTP akan terus berbincang dan mencari ruang yang boleh untuk membantu sasaran dakwah yang luas ini. Justeru, RM UTP menyeru kepada masyarakat kampus untuk berfikir tindakan yang adil dan wajar sekiranya persetujuan di atas tidak dilaksanakan. RM UTP bukan menghukum tetapi sebagai wadah menyampaikan amanah ALLAH Taala.
Sekian, terima kasih.
Zaiyinul Ain Bin Zainal Rafit
Timbalan Presiden Rakan Masjid
Universiti Teknologi PETRONAS
0 comments:
Post a Comment