Chat Box

Pages

Friday, August 27, 2010

Pengaruh Hedonisme???

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Akhir-akhir ini rakyat Malaysia dilambakkan dengan pelbagai cerita sedih pembuangan bayi. Satu isu yang berjaya ditonjolkan oleh media massa kepada rakyat jelata. Maka segala punca permasalahan dan penyelesaian cuba diutarkan oleh pakar akademik, ahli politik dan badan-badan NGO. Beberapa tahun sebelum ini kita dipaparkan dengan pelbagai kes ragut. Pada masa tersebut pelbagai cadangan penyelesaian telah diutarakan namun masih tidak menampakkan hasil yang cemerlang. Di sini saya ingin menyentuh salah satu faktor yang menyumbang kepada permasalahn di atas dan pelbagai masalah sosial lain dalam kalangan masyarakat sekarang seperti zina, bergaduh sesama ahli keluarga dan lain-lain.


Saya berani mengatakan bahawa budaya HEDONISME merupakan salah satu punca utama kepada masalah sosial masyarakat yang semakin meruncing. Hedonisme boleh didefinisikan sebagai falsafah yang menjadikan keseronokan menjadi matlamat utama dalam kehidupan. Daripada falsafah inilah yang menyebabkan wujudnya gaya hidup bertelanjang. Falsafah ini sememangnya mengutamakan keseronokan untuk memuaskan hawa nafsu tanpa memikirkan akibat di sebalik perbuatan tersebut. Budaya ini merupakan satu budaya yang tidak sihat tetapi semakin menular dalam budaya timur. Jika sebelum ini hedonisme lebih dikaitkan dengan budaya barat, akan tetapi budaya ini seakan-akan turut menjadi sebahagian daripada anak muda di Malaysia.

Berdasarkan definisi yang diutarakan di atas, maka tidak salah seandainya saya mengatakan bahawa kesan daripada amalan hedonisme dalam masyarakat sekarang menjadi faktor utama kepada masalah buang bayi, zina , rogol, minum arak, clubbing dan sebagainya.

Jika kita perhatikan, gaya hidup kebanyakan masyarakat terutamanya anak muda masa kini memang telah larut dengan budaya hedonisme. Satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan ialah lambakkan program realiti di televisyen. Apabila kita berbicara berkenaan Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in A Million, Sehati Berdangsa, Raja Lawak dan lain-lain lagi, program-program sebegini menjadi satu tarikan utama kepada masyarakat. Mungkin ada yang mengatakan bahawa program sebegini tidak kaitan langsung dengan hedonisme. Mungkin kenyataan ini benar. Akan tetapi jika kita mampu melihat dengan lebih jauh kita pasti akan dapat merasai dan menyedari bahawa kesan program-program sebegini menyebabkan anak-anak muda telah dimomokkan dengan hiburan yang berlebihan.

Kita sememangnya tidak boleh menghalang masyarakat, anak-anak muda bahkan golongan dewasa sekalipun untuk berhibur kerana memang menjadi fitrah kejadian manusia itu perlukan kepada hiburan untuk menjadi ubat kepada tekanan yang dihadapi akibat daripada tugasan seharian yang padat. Tetapi apabila hiburan itu menjadi salah satu daripada perkara utama dalam kehidupan sehinggakan wujud kerjaya sebagai penghibur sepenuh masa untuk menampung kehidupan, maka hal ini telah menzalimi fitrah. Tambah menyedihkan apabila majoriti masyarakat yang larut dalam budaya ini ialah golongan Melayu beragama Islam. Mereka mungkin terjebak tanpa sedar kerana budaya ini merupakan satu virus yang halus yang menyerap dalam masyarakat kita pada hari ini.

wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More